Senin, 09 April 2012

Hukum Ziarah Kubur


Ziarah kubur adalah disyari’atkan untuk menjadi suatu pengajaran dan mengingati Akhirat, dengan syarat tidak diucapkan sesuatu yang dimurkai Allah Subhaanahu wa Ta’aalaa ketika menziarahinya, seperti doa meminta kepada si mati, mengharap dan memohon bantuannya agar diselamatkan dari bencana atau azab akhirat, padahal itu hanya layak dipinta kepada Allah Ta’aalaa, atau perbuatan memuja si mati serta i’tikad yang pasti bahawa ia dimasukkan ke syurga dan yang sepertinya. Mengenainya terdapat bayak hadits yang sedia diketahui, tidak perlu disebutkan di sini, maka sesiapa yang ingin mengetahuinya, sila rujuk ke kitab asal. [1]

Dari kitab asal untuk faedah pembaca :

Pertama: Daripada Buraidah bin Al-Hushoib رضي الله عنه katanya meriwayatkan:

Rasulullah صلى الله عليه و سلم telah bersabda, yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku sebelum ini melarang kamu dari menziarahi kubur, maka kini ziarahilah ia [sebab ia mengingatkan kamu akan Akhirat], [dan hendaknya penziarahannya menambahkan kebaikan kamu], [maka barangsiapa yang ingin menziarahinya, maka pergilah ia ziarahinya dan jangan kamu mengatakan sesuatu (hujran) yang buruk dan bathil.” [2]

Kata Al-Imam An-Nawawi رحمه الله di dalam Al-Majmuu’ (5/310):

“Al-Hujru: Kata-kata yang bathil, adapun larangan asal Nabi (dari ziarah kubur) adalah kerana hampirnya mereka dengan zaman Jahiliyah mereka, dikhuatiri mereka akan berkata dengan ucapan adat Jahiliyah yang bathil. Maka apabila dasar-dasar Islam telah kukuh pada diri mereka, telah terlaksana hukum-hukumnya, telah diketahui umum akan petunjuk-petunjuknya, diizinkan mereka untuk menziarahinya dan baginda masih bersikap waspada dengan pesanan baginda: {Jangan kamu katakan sesuatu yang buruk dan bathil}”

Kesimpulan: Jelas bahawasanya apa yang dilakukan orang kebanyakan dan lainnya ketika menziarahi kubur dari perbuatan berdoa kepada si mati, memohon pertolongan dan kesejahteraan darinya, meminta kepada Allah dengan kedudukannya (Tawassul – sebagai perantaraan), adalah dari perkara-perkara yang terbesar kebathilannya dan keburukannya, maka menjadi tugas ulama [3] untuk menjelaskan hukum Allah di dalam perkara-perkara tersebut, memahamkan mereka cara dan tatatertib ziarah kubur sebagaimana yang disyari’atkan dan matlamat atau tujuan di sebalik ziarah kubur.

Al-Imam Ash-Shon’aaniy telah menyatakan di dalam Subulus Salaam (2/162):

“Segala (dalil-dalil) tersebut menunjukkan kepada perkara disyari’atkannya ziarah kubur serta penerangan mengenai hikmah/tujuannya di sebaliknya dan ia adalah untuk I’tibar/pengajaran maka jika tidak terdapat padanya sesuatu dari perkara-perkara ini maka ia (ziarah kubur) tidak dikehendaki/dimaksudkan di sisi Syara’.”

Kedua: Dari Abi Sa’ied Al-Khudriy katanya meriwayatkan: Rasulullah صلى الله عليه و سلم telah bersabda, yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku sebelum ini melarang kamu dari menziarahi kubur, maka kini ziarahilah ia sebab padanya terkandung pengajaran dan janganlah kamu mengatakan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah.” [4]

Hukum Ziarah Kubur Untuk Wanita

Kaum wanita sama hukumnya seperti kaum lelaki, di dalam hal digalakkan menziarahi kubur kerana beberapa sudut:

Maksud sabda baginda صلى الله عليه و سلم yang berbentuk umum:

“… maka kini ziarahilah ia.”

Maka ia merangkumi kaum wanita dan penjelasannya: Bahawasanya apabila Nabi صلى الله عليه و سلم melarang dari ziarah kubur pada awalnya, maka sesuatu yang tiada keraguan lagi padanya bahawa larangan itu menyeluruh baik atas kaum lelaki mahupun wanita, maka apabila baginda katakan: “Aku dahulunya/sebelum ini melarang kamu dari ziarah kubur” difahami bahawa semestinya baginda maksudkan kedua jenis jantina dan baginda memberitahu akan keadaan sebelumnya yang dilarang adalah kedua-dua pihak. Maka jika duduk perkaranya demikian, maka secara semestinya izin baginda selepas itu “maka kini ziarahilah ia,” di dalam hadits tersebut dimaksudkan kepada kedua pihak juga.

Akan tetapi tidak boleh bagi kaum wanita untuk kerap pergi ziarah kubur atau berulang-alik ke kubur, sebab itu akan menyebabkan beliau melakukan perkara yang bercanggah dengan Syari’ah, dengan teriakan dan bertabarruj (berhias diri yang diharamkan), menjadikan kuburan seperti tempat diadakan perkelahan, membuang masa dengan bual kosong, sebagaimana yang dapat disaksikan berlaku di beberapa negeri Islam dan inilah sebenarnya yang dimaksudkan di dalam hadits yang masyhur, yang bermaksud:

“Rasulullah telah melaknat (di dalam riwayat lain: Allah melaknati) wanita-wanita yang menziarahi kubur.”

Kata Imam Al-Qurthubiy:
“Laknat yang disebutkan di dalam hadits ini sebenarnya dimaksudkan adalah bagi wanita yang banyak dan kerap menziarahi kubur, dengan apa yang ditunujukkan dengan lafaz mubaalaghah (melampau/banyak “zauwaaraat”). Mungkin sebabnya ialah ia akan menjadi punca perbuatan mengabaikan hak suami, bertabarruj, teriakan dan yang sepertinya. Boleh disimpulkan juga:Jika terpelihara segala perkara tersebut, maka tiada halangan bagi mengizinkan wanita menziarahi kubur, sebab peringatan akan Hari Akhirat diperlukan oleh orang lelaki dan wanita.

Kata Imam Asy-Syaukaaniy:di dalam Nailul Authar (4/95)
“Kata-kata ini adalah yang sepatutnya dipegang di dalam memadankan maksud hadits-hadits di dalam bab (masalah) ini, yang jika dilihat secara zahirnya bercanggahan.”

WalLahu a‘lam.

0 komentar:

Posting Komentar